SURAT MAHATHIR KEPADA TUNKU ABD RAHMAN
Di bawah ialah terjemahan surat yang pernah ditulis oleh Dr. Mahathir kepada Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra sebagai balasan kepada surat Tunku kepadanya berkenaan kenyataan Dr. Mahathir mengenai kehadiran MCA dalam Perikatan selepas pilihanraya pada 10 Mei 1969.
Yang Mulia Tunku,
Saya berasa dukacita kerana saudara salah faham berkenaan tujuan saya membuat kenyataan akhbar. Sebenarnya, tujuan kita serupa, tidak lain dan tidak bukan ialah untuk menyelamatkan negara ini daripada bahaya yang sedang mengancamnya.
Pendapat-pendapat saudara adalah berdasarkan cerita-cerita yang disampaikan oleh orang-orang yang mengelilingi saudara, di mana mereka itu menyampaikan kepada saudara apa yang mereka fikir saudara suka dengar, ataupun apa yang saudara sanggup terima. Di sini biarlah saya sampaikan kepada saudara keadaan, fikiran dan pendapat rakyat yang sebenar supaya saudara faham tujuan saya membuat kenyataan yang saudara kritik itu.
Sauadara sendiri pernah berkali-kali memberitahu saya bahawa saudara cuba mengelakkan terjadinya rusuhan dengan menggantungkan hukuman mati yang dikenakan kepada sebelas orang anasir subversif Cina. Sesungguhnya punca sebenar berlakunya rusuhan dan banyak kematian sejak 13 Mei ialah sikap dan perbuatan saudara sendiri.
Saudara selalu sahaja "mengalah", di mana saudara berikan apa sahaja yang dituntut oleh kaum Cina. Kemuncak sikap mengalah saudara ialah apabila saudara membatalkan hukuman mati seperti yang saya sebutkan di atas. Perbuatan saudara itu menyebabkan orang-orang Melayu menjadi amat marah Ditambah lagi apabila kaum Cina sedar bahawa baik saudara mahupun Perikatan amat lemah, bacul dan boleh ditolak ke sana sini.
Disebabkan hal itu kaum Cina tidak takut hendak mengalahkan Perikatan, manakala orang-orang Melayu pula tidak mahukan Perikatan. Itulah sebabnya kaum Cina dan India menunjukkan sikap yang sangat biadab kepada orang-orang Melayu pada 12 Mei. Jikalau saudara pernah mengalami peristiwa di mana saudara diludahi, dimaki dan dihina, barulah saudara faham perasaan orang Melayu. Orang-orang Melayu yang saudara sangka takkan menderhaka itu telah hilang kewarasan mereka sehingga mereka mengamuk dan sanggup dibunuh ataupun membunuh orang-orang yang mereka benci disebabkan saudara sudah sangat melampau. Pihak yang mesti memikul tanggungjawab ke atas kematian orang-orang itu, baik yang Islam mahupun yang kafir, ialah pemimpin yang berpegang kepada pendangan-pandangan yang salah.
Maafkan saya, tetapi di sini saya cuma hendak menyampaikan perasaan orang-orang Melayu kepada saudara. Sesungguhnya, orang Melayu, baik yang dalam PAS mahupun yang dalam UMNO, mereka itu amat membenci saudara, terutamanya mereka yang telah dihina oleh kaum Cina dan mereka yang kehilangan rumah, keluarga dan sanak saudara kerana sikap saudara yang terlalu mengalah itu.
Menurut mereka saudara cuma mahu menjadi "Perdana Menteri Yang Gembira" meskipun rakyat menderita. Mereka tahu bahawa sewaktu dalam keadaan darurat sekalipun saudara asyik bermain judi poker dengan kawan-kawan Cina saudara. Anggota-anggota polis berkata saudara menggunakan kenderaan polis dan polis pengiring untuk membawa kawan-kawan poker saudara.
Di satu pihak lagi, kaum Cina sedikit pun tidak hormat kepada saudara Mereka panggil saudara "lurus bendul" dan "membosankan". Mereka juga mengata-ngata saudara dengan kata-kata yang tidak tergamak hendak saya sebutkan di sini. Kata nista itu diucapkan oleh kaum Cina daripada semua peringkat, daripada cerdik pandainya hinggalah kepada penarik-penarik beca.
Sejak kebelakangan ini nama baik saudara semakin busuk. Orang Melayu dalam perkhidmatan kerajaan, daripada Setiusaha Tetap sehinggalah kepada peringkat paling rendah, termasuk anggota tentera dan polis, tidak lagi menaruh rasa percaya mahupun rasa hormat kepada saudara. Saya tahu bahawa kebanyakan daripada mereka mengundi PAS di dalam undi pos mereka. Pegawai-pegawai Melayu dalam angkatan tentera dan polis, serta anggota-anggota biasa masih patuh kepada kerajaan oleh sebab pada masa ini arahan-arahan kerajaan masih selaras dengan hasrat mereka. Tetapi jika saudara berani mengeluarkan arahan yang tidak mereka setujui, saya yakin mereka tidak akan patuh kepada saudara.
Saya tahu saudara takut sekiranya komunis mengambil kesempatan apabila berlaku huru-hara di negara ini. Saya lebih takut lagi sekiranya kerajaan mulai "tidak dapat mengawal angkatan tentera". Apabila ini berlaku, keadaan tidak akan dapat dipulihkan lagi. Dalam keadaan seperti itu, kerajaan awam sendiri terpaksa tunduk kepada tentera. Saudara sudah biasa menjadi "Perdana Menteri Yang Gembira", tetapi apabila perubahan ini terjadi, rakyat tidak akan menikmati kegembiraan sama sekali.
Saya berdoa saudara tidak akan mendustai diri saudara dengan berkata, "Satu hari nanti rakyat akan memuji tindakan yang saya buat." Tidak mungkin ada orang yang selama-lamanya dia betul sementara kebanyakan orang lain sentiasa salah. Adalah menjadi harapan saya untuk menyampaikan kepada saudara dengan sebenar-benarnya apa yang ada dalam fikiran rakyat, iaitu sudah sampai masanya saudara berundur daripada jawatan saudara sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
Saya memang sedar akan kuasa yang ada pada saudara, dan saya tetap tidak lupa kepada nasib yang dialami oleh Aziz Ishak. Namun, saya akan gagal dalam memikul tanggungjawab saya jikalau saya tidak menjelaskan apa yang telah saya katakan. Meskipun saya mungkin dipenjarakan, saya tetap akan mengatakan apa yang saya katakan.
Saya diberitahu, saudara mengata saya seorang Pakistan. Saya tidak percaya kepada kata-kata itu kerana saya tahu saudara takkan berkata begitu. Selama ini saya pertahankan saudara apabila PAS menuduh saudara anak Siam dan oleh itu saudara tiada hak memimpin bangsa Melayu. Oleh yang demikian, saudara mesti pertahankan saya walaupun di dalam tubuh saya memang ada dua sudu lagi darah Pakistan.
Sekali lagi saya ulangi di sini bahawa saya membuat kenyataan itu adalah dengan niat menghindari peristiwa-peristiwa yang hanya akan menaikkan lagi rasa kebencian di kalangan orang Melayu terhadap kerajaan, dan yang akan membuatkan kaum Cina bertambah berani menjatuhkan maruah orang Melayu. Rusuhan yang lebih besar akan terjadi jikalau perkara ini dibenarkan. Pasukan keselamatan tidak akan dapat dikawal lagi. Jikalau T.H. Tan dan dewan-dewan Cina boleh mengeluarkan kenyataan, mengapakah pemimpin-pemimpin UMNO tidak dapat saudara benarkan berbuat yang serupa?
Surat ini saya tulis dengan jujur dan ikhlas dan saya berharap saudara akan membacanya sendiri. Saya berdoa mudah-mudahan Allah membuka hati saudara supaya saudara sanggup menerima kenyataan ini kerana ia adalah benar, meskipun ia pahit dan memeranjatkan.
Hamba yang ikhlas,
tt
Dr. Mahathir bin Muhammad.