"Dr. M kini pemimpin kera sumbang"

Kenyataan Akhbar Rahim Ghouse dan Ezam

Manila: 7 Oktober 1998

Kami sama sekali tidak terperanjat dengan keputusan Majlis Tertinggi menyingkir kami dari UMNO. Sebenarnya ia bukanlah keputusan MT, tetapi ia adalah kehendak Dr. Mahathir Mohamad. MT sekadar menjadi alat kepada Dr. Mahathir untuk melepaskan dendam dan geram beliau kepada aktivis Gerakan Reformasi yang dipelopori oleh Saudara Anwar Ibrahim dan kini dipimpin oleh Dr. Wan Azizah Ismail.

Kami tidak akan merayu kepada keputusan tersebut kerana ia hanya akan menggelembongkan ego dan nafsu Dr. Mahathir yang sedang mabuk kuasa. Dr.Mahathir adalah Presiden dan Timbalan Presiden, dia jugalah MT, dan dia berpendapat dialah UMNO dan UMNO itu milik dirinya seorang.

Begitu juga dengan Kerajaan. Dialah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Kewangan. Kabinet itu adalah Dr. Mahathir seorang. Bahkan Malaysia ini hanya milik Dr. Mahathir seorang. Dr. Mahathir adalah Malaysia dan Malaysia adalah Dr. Mahathir. Sikap "megalomaniac" ini saling tak ubah dengan sikap Louis XIV, raja Perancis di zaman Rejim Lama, yang pernah berkata: "I am the state," � "Akulah Negara." Ini jelas dari kenyataan Dr. Mahathir yang dilaporkan berkata : "We run our country in our own way." Siapa "we"? Hanya Dr. Mahathir seorang diri. Apakah Malaysia milik beliau seorang? Di manakah undang-undang dan peraturan.

UMNO berada di ambang perpecahan. Dan UMNO akan hancur kerana mengikut kerenah Dr. Mahathir. Beliau ingin membersihkan UMNO dari pengaruh Sdr Anwar dan Gerakan Reformasi. Hakikatnya ialah penyokong Sdr Anwar dan pendokong Gerakan Reformasi adalah golongan majoriti dalam UMNO dan Dr. Mahathir dan kuncu-kuncunya adalah golongan minoriti. Jika Dr. Mahthir yakin beliau mendapat sokongan majoriti beliau tidak perlu menggunakan kekerasan, "naked power" dan cara yang jijik untuk menjatuhkan Sdr Anwar dan begitu takut dengan Gerakan Reformasi.

Kita perlu belajar dari sejarah UMNO. Di penghujung masa pemerintahannya Tunku Abdul Rahman menjadi "liability" kepada UMNO. Beliau menjadi punca perpecahan dalam UMNO dan kekalahan teruk dalam pilihanraya dan seterusnya rusuhan kaum.

Hanya setelah Tunku Abdul Rahman berundur dan Tun Abdul Razak mengambil alih tampuk kepimpinan kekuatan UMNO pulih semula, bahkan menjadi lebih kuat dengan pembentukan Barisan Nasional dan perpaduan kaum dapat dibina semula dengan dasar ekonomi dan sosial yang mementingkan keadilan.

Jelas bahawa Dr. Mahathir perlu berundur untuk mengelakkan perpecahan dalam UMNO. Seperti Tun Abdul Razak di zamannya, di masa ini hanya Sdr Anwar dapat menyelamatkan UMNO dari kehancuran.

Semua tahu bahawa Dr. Mahathir kini merupakan pemimpin kera sumbang. Dalam kes Sdr Anwar bukan negara Barat yang terkedepan untuk mengkritik kezaliman Dr. Mahathir. Yang paling tegas menegur Dr. Mahathir adalah pemimpin-pemimpin negara dari rumpunan bangsa Melayu, Indonesia dan Filipina.

Semalam kami diberi penghormatan bertemu dengan Presiden Estrada di kediaman peribadi beliau. Kami diberikan layanan yang begitu mesra dan beliau menyatakan kebimbingan beliau terhadap keselamatan dan kesihatan Sdr Anwar. Kami tergamam bila belum sempat kami membuka mulut beliau bertanya: "What can I do to help my friend?" Kami tidak perlu memberi penerangan kerana beliau telah tahu segala-galanya dan Presiden tersebut menegaskan bahawa apa yang berlaku kepada Saudara Anwar adalah melanggari hak asasi manusia dan bertentangan dengan prinsip demokrasi.

Setalah bertemu dengan Presiden Estrada kami dijamu makan tengahari oleh bekas Presiden Cory Aquino. Puan Aquino menyatakan semasa beliau menjadi Presiden beliau tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Dr. Mahathir kerana sikap Dr. Mahathir yang angkuh dan mengaku mahatahu. Cory menyatakan kagum beliau dengan wawancara Dr. Wan Azizah dalam majalah Time dan berkata "Dr. Wan Azizah started better than me". Beliau terus menelefon Dr. Wan Azizah untuk menyatakan simpati,

"Saya faham hati seorang isteri dalam keadaan begitu kerana saya pernah mengalaminya. " Suami beliau pernah ditahan atas pelbagai tuduhan termasuklah "political murder".

Bekas presiden tersebut juga menulis surat kepada Dr. Wan Azizah.

Sebelum kami ke Manila, kami bertemu dengan pemimpin-pemimpin kerajaan dan bukan

kerajaan di Jakarta. Pemimpin Nahdatul Ulama, Abdul Rahman Wahid, menerima kunjungan kami dengan mesra meskipun beliau sedang sakit. Perbincangan kami berjalan dalam kamar tidur beliau dan ulamak tersebut berbaring di atas katilnya. Beliau berkali-kali mengulangi bahawa "Anwar adalah orang perjuang." Beliau terang-terang mengatakan bahawa terdapat banyak perbedaan fikiran antara Anwar dan beliau, tetapi itu adalah hak masing-masing dan Anwar sendiri mendukung perbedaan pendapat. Abdul Rahman Wahid mengatakan "Dr. Mahathir itu sama saja dengan Suharto. Melakukan sesuatu mengikut 'letter of the law,' bukan 'spirit of the law,' yakni mengikut zahir undang-undang, tetapi melanggar semangat dan maksud undang-undang.

Kami juga bertemu dengan Adnan Buyung Nasution, seorang peguam hak asasi manusia yang terkenal dan juga ahli International Commission of Jurists. Beliau khuatir perbicaraan Anwar tidak akan adil, kerana "miscarriage of justice" sudah berlaku kepada perbicaraan dua saksi utama, Sukma Darmawan dan juga Dr. Munawar Anees. Dan jelas bahawa dakwaan jenayah adalah sebahagian dari konspirasi politik yang dirancang oleh Dr. Mahathir.

Di kedua-dua negara, Indonesia dan Filipina, telah wujud gerakan untuk membebaskan Anwar � "Free Anwar Movement". Kami amat terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh rakyat dan media kedua-dua negara terhadap nasib Saudara Anwar.

Kita jangan lupa bahawa Ghafar Baba diusir oleh rakyat Indonesia kerana cuba menjadi burung kakak tua di Jakarta dengan mengulangi fitnah jijik Dr. Mahathir. Tidak ada menteri yang mahu menerima kunjungan Anuar Musa, kecuali rakan sejawat beliau. Beberapa hari yang lalu Dr. Mahathir mengirim bekas KSN, Ahmad Sarji, juga untuk menjelaskan fitnah Dr. Mahathir. Percayalah tidak ada sebarang usaha Dr. Mahathir untuk mengeksport fitnahnya yang akan berjaya. Ia hanya akan menambah kebencian rakyat ASEAN kepada beliau. Dr. Mahathir akan terus menjadi kera sumbang.

Presiden Habibie dan Presiden Estrada sanggup melanggar diplomasi konvesional untuk

menyatakan simpati dan berusaha untuk membebaskan sahabat mereka dari terus dianiaya oleh Dr. Mahathir. Presiden Habibie dan Presiden Estrada tidaklah mengenali Saudara Anwar serapat ahli-ahli UMNO. Di manakah maruah ahli-ahli UMNO yang membiarkan sahabat dan pemimpin mereka dilayani seperti anjing? Adalah begini sikap orang Melayu dan orang Islam Malaysia terhadap sahabatnya?

Kami yang disingkirkan keahlian UMNO oleh Dr. Mahathir.

Dr. Abdul Rahim Ghouse
Mohamad Ezam Mohd Nor