KENYATAAN AKHBAR
Kredibiliti Dr Mahathir berada di tahap yang paling rendah dan memalukan baik di dalam dan di luar negara. Demokrasi di bawah Dr Mahathir bukan lagi yang bertamadun, tidak lagi mempunyai check dan balance antara kerajaan dan rakyat, tidak lagi menegakkan keadilan dan bukan lagi berdasarkan kepada undang-undang yang termaktub. Dr Mahathir mempunyai dua rangka undang-undang sebagaimana yang diterangkan oleh pemimpin kita Anwar Ibrahim. Undang-undang yang menghukum Anwar Ibrahim dan rakyat adalah undang-undang yang berdasarkan nafsu Dr Mahathir.
Walaupun, sistem demokrasi di Malaysia sudah mempunyai asas-asas yang kukuh, tetapi dengan negara dipimpin oleh Dr Mahathir sistem demokrasi di Malaysia sudah menjadi begitu rapuh dan tidak lagi menghormati hak-hak rakyat. Dr Mahathir lebih mementingkan untuk mempertahankan kekuasaan daripada mengwujudkan masyarakat madani dengan menjadikan Malaysia sebuah negara polis. Sedihnya, demokrasi Malaysia sekarang ini bukan lagi berdaulatkan rakyat tetapi berdaulatkan Dr Mahathir.
Kekuasaan Dr Mahathir tidak boleh dipersoalkan, ditegur dan rakyat terus hidup dalam ketakutan, diketepikan, dianiaya dan diancam.
Di peringkat antarabangsa, pemimpin-pemimpin antarabangsa tidak lagi menghormati Dr Mahathir sebagai pemimpin yang disegani. Pengurus-pengurus dana tidak yakin dengan polisi-polisi kewangan dan ekonomi ciptaan Dr Mahathir. Penasihat-penasihat MSC sudah menolak Dr Mahathir sebagai peneraju zaman informasi. Malah, tokoh-tokoh ulama antarabangsa menolak fitnah-fitnah Dr Mahathir ke atas Anwar Ibrahim. Dr Mahathir telah benar benar menjadi kera sumbang.
Kita mendapat maklumat bahawa majoriti anggota kabinet dan beberapa Menteri Besar juga mempunyai akaun masing-masing di bank di Singapura yang berjumlah berjuta-juta ringgit. Siti Hasmah dan anak-anaknya juga mempunyai akaun-akaun yang sama. Bagaimana ini boleh berlaku dalam keadaan rakyat digalakkan menabung di dalam negeri. Apakah mereka ini sudah merasa tidak selamat dan mula mengumpulkan wang di luar negara? Anwar Ibrahim juga telah mendedahkan lesapnya wang UMNO. Pemimpin UMNO di peringkat akar umbi, cawangan-cawangan serta bahagian-bahagian wajib mempersoalkan dimana perginya wang UMNO termasuk wang yang dipegang oleh Dr Mahathir dan Tun Daim. Penyewelengan-penyewelengan seperti ini akhirnya akan terdedah juga.
Dalam musim pengadilan ini, rakyat merasa aneh kerana Dr Mahathir masih terus dibenarkan untuk melanggar perintah mahkamah. Di dalam temuramahnya di CNN baru-baru ini, Dr Mahathir telah membuat keputusan bahawa Anwar Ibrahim telah bersalah bersandarkan tuduhan-tuduhan yang diterima. Dr Mahathir tetap dengan peranan beliau sebagai pendakwaraya dan hakim. Menurut Anwar Ibrahim begitu banyak juga tuduhan-tuduhan ke atas Dr Mahathir dan Ketua Polis Negara dibuat oleh rakyat. Kita menuntut pihak polis mendedahkan semua lapuran-lapuran dan tuduhan-tuduhan ke atas Dr Mahathir dan Ketua Polis Negara kepada umum. Jika cuma berdasarkan tuduhan-tuduhan palsu terhadap Anwar Ibrahim sudah didapati bersalah oleh Dr Mahathir, maka rakyat yakin sudah bertimbun kesalahan Dr Mahathir telah dilapurkan kepada pihak polis.
Sejarah manusia penuh dengan sejarah perjuangan untuk menegakkan keadilan dan menentang kezaliman. Adalah menjadi satu tanggungjawab moral untuk rakyat terus menegakkan demokrasi dan keadilan. Biarlah menjelang abad 21 rakyat Malaysia dikenali sebagai rakyat yang berjuang melindungi hak asasi manusia, kebebasan bersuara, serta keadilan. Bayangkanlah apakah yang akan terjadi pada negara jika apa yang diramalkan oleh Anwar Ibrahim bahawa pemerintahan darurat ala tentera akan dilaksanakan di negara kita selepas persidangan APEC. Bayangkanlah jika Dr Mahathir terus memburu, menahan dan menyiksa pemimpin-pemimpin rakyat di bawah ISA selepas persidangan APEC. Bayangkan jika keseluruhan wang rakyat digunakan sehingga Tabung Haji, KWSP, SOCSO, LTAT akan kekeringan wang akibat kerakusan Dr Mahathir dan kroni-kroninya. Rakyat mesti terus berani bangun untuk menjatuhkan Dr Mahathir secara aman dengan mengikuti semua program dan perhimpunan anjuran gerakan reformasi, Gerak, Gagasan Rakyat, parti parti politik, pertubuhan bukan kerajaan yang turut sama membela hak rakyat demi keadilan dan kebenaran. Jika kita luntur dan gentar Dr Mahathir akan terus mencengkam dan menggunakan segala kekuasaannya untuk menekan rakyat.
Dr Mahathir pemimpin zalim, tidak lagi pemimpin yang di terima rakyat. Demi masa depan agama, bangsa dan negara, rakyat mesti terus bangun menegakkan kebenaran dan keadilan.
Salam reformasi