KENYATAAN AKHBAR DR. ABDUL RAHIM MD. GHOUSE - FILIPINA

Terima Kasih Justices 4 all

Saya sekarang berada di Manila untuk memberi penerangan kepada masyarakat Filipina tentang perkembangan politik di Malaysia dan menjelaskan bagaimana Dr. Mahathir Mohamad melakukan apa saja - beraja di mata, bersultan di hati - sekadar untuk terus berkuasa.

Semalam saya mengadakan mesyuarat dengan Grand Order of the Knights of Rizal, persatuan yang memberikan penghormatan tertinggi kepada Saudara Anwar Ibrahim kerana sumbangan beliau memperkembangan idea dan perjuangan Jose Rizal di luar Filipina. Pertubuhan tersebut mempunyai cawangan di seluruh dunia dan dianggotai oleh sarjana dan negarawan seperti Raja Sepanyol dan Henry Kissinger.

Semasa saya bermesyuarat dengan Grand Order of the Knights of Rizal, Senator Blas F. Ople yang juga Chairman of Senate Committee on Foreign Relations, memberikan "privilege speech" bertajuk "Anwar Ibrahim in prison, Prometheus bound," di Dewan Senate. Beliau menyatakan kekagumannya terhadap kegigihan Saudara Anwar dalam memperjuangkan kebebasan. Beliau mengutuk penghinaan yang dilakukan terhadap Anwar Ibrahim, penahanannya di bawah ISA dan layanan buruk yang diberikan dibawah jagaan polis.

Beberapa anggota Grand Order of the Knights of Rizal berpendapat bahawa Dr. Mahathir adalah lebih kejam dari Marcos kerana Marcos tidak pernah menghina Banigno Aquino dan Aquino tidak pernah di pukul semasa dalam tahanan. Bahkan rejim komunis juga tidak pernah menghina musuh-musuhnya dengan cara yang begitu jijik. Mereka lebih terperanjat bila mengetahui bahawa yang membelasah Saudara Anwar adalah Ketua Polis Negara sendiri dan seterusnya berpendapat bahawa orang yang mengatakan kecederaan saudara Anwar sebagai 'self-inflicted" sebagai megalomania.

Amat jelas sekali bahawa hari demi hari Dr. Mahathir Mohamad semakin tersisih. Bahkan beliau telah menjadi kera sumbang di kalangan pemimpin alam Melayu iaitu Indonesia dan Filipina, serantau dan dunia. Jika beliau terus berkuasa Malaysia akan tersisih dan rakyat akan menderita akibat dari penyisihan tersebut.

Telah muncul kata sepakat dari masyarakat serantau dan juga dunia bahawa Dr. Mahathir kini lebih merupakan seorang diktator di senja pemerintahannya. Setahun yang lalu beliau mungkin dilihat sebagai wira daan jurucakap Dunia Ketiga tetapi rakyat Indonesia hari ini melihat Dr. Mahathir berkelakuan saling tak tumpah dengan gelagat Soeharto di hari-hari terakhir pemerintahannya. Rakyat Filipina pula telah menyamakan beliau dengan Marcos.

Dr. Mahathir akan berusaha sedaya upaya agar pandangan masyarakat serantau dan dunia tidak sampai kepada rakyat. Beliau akan mengawal media massa dan segala saluran maklumat dengan seketat-ketatnya. Tetapi rakyat akan tahu juga, melalui internet, melalui fax, melalui telepon.

Rakyat laparkan maklumat. Dr. Mahathir memberikan rakyat propaganda. Rakyat Malaysia mahu menjadi warga global, tetapi Dr. Mahathir ingin membawa Malaysia mengasingkan diri bagai katak dibawah tempurung. Dr. Mahathir akan terus menyekat dan menodai hak rakyat semata-mata untuk terus berkuasa dan merampok saki baki kekayaan Malaysia untuk diagih-agihkan kepada anak dan kroninya. Segala dana yang terdapat dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Lembaga Urusan Tabung Haji, Lembaga Amanah Tabung Angkatan Tentera dan Petronas akan digunakan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat anak-anak dan kroni beliau.

Langkah ini adalah konsisten dengan kenyataan dan pendirian Dr. Mahathir bahawa kepentingan syarikat-syarikat besar adalah kepentingan negara. Ini bermakna Dr. Mahathir telah menyamakan kepentingan negara dengan kepentingan kroni beliau.

Dr. Mahathir tidak pernah menunjukkan simpati dan rasa prihatin terhadap petani, nelayan, buruh dan golongan berpendapatan rendah. Beliau telah merosakkan Dasar Ekonomi Baru yang diasaskan oleh Tun Abdul Razak dari dasar untuk membela nasib golongan miskin serta pengagihan saksama kepada dasar untuk mencipta jutawan dan billionaire.

Sekarang apabila jutawan dan billionaire tersebut sudah dicengkami hutang, matlamat utama dasar ekonomi Dr. Mahathir adalah untuk menyelamatkan gerombolan jutawan dan billionaire tersebut sekalipun dengan menggunakan wang simpanan dari keringat golongan miskin.

Gerakan reformasi yang dilancarkan oleh Saudara Anwar Ibrahim meletakkan keadilan pengagihan sebagai kunci kepada pembentukan masyarakat madani.

Dr. Mahathir adalah penghalang utama kepada pembentukan masyarakat madani.

Saudara Anwar dan lain-lain tahanan ISA perlu dibebaskan dengan serta merta dan tanpa syarat. Selagi Saudara Anwar dan lain-lain tahanan ISA tidak dibebaskan, selagi itu Malaysia akan terus terpencil dan diasingkan oleh masyarakat antarabangsa.

Segala masalah dan keperitan yang dideritai oleh Malaysia hari ini adalah angkara Dr. Mahathir. Beliau mendakwa untuk menyelamatkan Malaysia. Tetapinya beliau adalah laksana tikus yang memperbaiki labu.

Segala yang beliau lakukan membawa Malaysia semakin hampir kepada kehancuran. Dr. Mahathir perlu undur.

(digitized signature)

Dr. Abdul Rahim Md. Ghouse

EXCO Pergerakan Pemuda UMNO dan

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang

Oktober 1998 - Manila, Filipina