MIN AINA ILA AINA
Oleh TUAN HAJI SUBKY ABDUL LATIF

Pimpinan Umno buta sejarah

 

MAKA para pemimpin Umno mempertikai langkah Timbalan Presidennya yang terpecat sebelum ditahan menjelajah ke sana sini untuk membela diri sambil membidas dasar-dasar kerajaan serta pimpinan Umno.

Bagi mereka baiklah dia duduk diam-diam dan menerima saja apa yang terjadi.

Dr. Mahathir berkata begitu dan yang lain-lain termasuk Dato' Abdullah Badawi, Dato' Najib, Tan Sri Wan Mokhtar pun berkata begitu. Tukang angguk lain pun apa lagilah.

Sebenarnya para pemimpin Umno itu tidak mempunyai apa-apa hak untuk melarang orang di luar Umno untuk berbuat apa yang disukainya.

Umno hanya ada hak untuk melarang ahli-ahlinya dari melakukan sesuatu yang bercanggah dengan peraturan dan disiplin parti. Boleh ia mengambil apa-apa tindakan terhadap orang yang tidak mematuhi parti.

Tetapi orang sudah tidak kena mengena dengan parti, apa ada kena mengena dengan parti.

Ada pun bekas Timbalan Presiden Umno bukan lagi ahli Umno. Terserah kepadanya apa yang dia hendak buat.

Adapun yang melarang ahli-ahli Umno untuk melakukan sesuatu yang bercanggah dengan peraturan Umno ialah tindakan disiplin yang akan dikenakan termasuklah memecatnya. Tetapi setelah seorang yang dipecat tidak lagi menjadi ahli, apakah tindakan yang lebih berat dari itu.

Adakah mungkin Umno panggil dia lagi dan minta dalil mengapa Umno tidak boleh kenakan tindakan kepadanya jika dia terus juga mengecam Umno dan pemimpinnya?

Jika Umno kesal atas tindakannya menyelar Umno, adakah Umno menyesal memecatnya dari menjadi ahli.

Adapun dia tidak meluahkan keburukan Dr. Mahathir dan lain-lain pekung Umno selama ini di khalayak ramai ialah dia menjaga perpaduan Umno dan ada tanggungjawab kepada parti itu.

Sekarang apa ada kena mengena dia dengan Umno lagi.

Kalau Umno tidak mahu dia menceritakan tentang pekung pemimpin-pemimpin Umno yang dia banyak tahu, maka buat apa buang dia dari Umno. Membuangnya dari Umno membebaskan dia dari segala tanggungjawab seorang ahli Umno.

Jika dia mendiam diri selepas dipecat, maka untunglah Umno, tetapi jika dia berkata sesuatu, maka terima sajalah.

Umno patut tahu apa Dato' Onn buat bila dia keluar Umno. Apa dia tidak kata tentang Umno? Ini anak cucu Dato' Onn yang masuk Umno patut tahu?

Tunku Abdul Rahman Putra terkeluar dari Umno apabila Umno diharamkan. Dan tidak menyertai Umno yang Dr. Mahathir bentuk hingga akhir hayatnya. Apa Tunku tidak kata kepada Umno dan pemimpin Umno? Tahu atau tidak bahawa tunku naik pentas Pas di Pantai Merdeka menyokong Dato'Muslim,calon Pas yang ditentang oleh Umno.

Lainlah Tun Hussein Onn yang secara teknikal dipercayai tersingkir dari pimpinan Umno dan kerajaan. Dia mendiam diri. Dia bukan hendak sangat masuk Umno, tetapi Tun Razak ajak dia dan dia dapat apa yang tidak minta.

Dia lain dari Tunku, lain dari ayahnya dan lain dari Dr. Mahathir.

Tengku Razaleigh dan Tan Sri Musa Hitam juga menyelar pimpinan Umno sekarang mengikut yang terdaya oleh mereka. Walaupun mereka ibarat seluk tempayan tidak sampai kelengan, tetapi sekadar had siku pun telah membuktikan mereka telah seluk.

Tetapi apa pula yang pemimpin-pemimpin seperti Wan Mokhtar dan Dato' Abdullah Badawi tahu tentang apa Dr. Mahathir buat apabila dia dipecat dari Umno dulu?

Sepatutnya Umno bertanya dari Tun Ghafar Baba tentang apa Dr. Mahathir buat dan apa Umno kata tentang Dr. Mahathir ketika itu.

Dr. Mahathir tidak diam macam yang Wan Mokhtar dan Dato' Najib anjurkan bekas Timbalan Presiden sekarang patut buat.

Mula-mula tersebar surat peribadinya dengan Tunku Abdul Rahman. Sudah tentu surat-surat itu ada dalam fail Dr. Mahathir dan ada dalam fial Tunku.

Bagaimana surat-surat itu boleh tersebar? Salah seorang antara Tunku dan Dr. Mahathirlah yang bertanggungjawab.

Demikianlah halnya dengan surat bekas Timbalan Perdana Menteri kepada Dr. Mahathir menjelang pemecatannya boleh tersebar? Surat itu ada dalam fail mereka. Bila ia tersebar, maka salah seorang dari merekalah yang bertanggung jawab.

Dr. Mahathir pun bertemu dengan ketua pelajar ketika itu kebetulan timbalannya yang dia pecat. Lepas itu pelajar-pelajar pun menunjuk perasaan menentang Tunku.

Hingga Tunku dikira mula tersingkir dari pimpinan Umno.

Apa yang pelajar-pelajar tidak kata pada Tunku sedang mereka bersama dengan Dr. Mahathir ketika itu. Tun Ghafar boleh sahkan kiranya ingatannya masih baik.

Dato' Hamid Albar tahu apa yang ayahnya bergelar Singa Umno kata tentang hal itu. Tan Sri Aishah Ghani mungkin sudah tidak ingat.

Kemudian jika ada pelajar-pelajar melempar kotak minuman dan kertas kepada Dr. Mahathir dan mungkin ia dilihat sebagai penyokong bekas TPM, maka itu tidak ganjil dibandingkan dengan yang Tunku temui ketika Dr. Mahathir dipecat dulu.

Dalam pilihan raya kecil di Kapar, Dr. Mahathir yang bukan ahli Umno itu berucap atas pentas PAS. Apa dia tidak kata tentang Umno dan pemimpinnya?

Maka jika bekas Menteri Kewangan yang bukan lagi Umno bercakap atas pentas DAP, maka tidak ganjil. Bezanya Dr. Mahathir pilih PAS, timbalan yang dipecatnya baru pilih pentas DAP.

Sepanjang Dr. Mahathir tersingkir dari Umno, Dr. Mahathir menjadi jemputan terlaris di universiti dalam negeri dan forum antarabangsa.

Apa Dr. Mahathir tidak kata tetang Umno, pimpinannya dan kerajaan Malaysia di luar negeri?

Setakat ini kita baru lihat kritik bekas TPM terhadap Umno, pemimpin dan kerajaan dalam media asing saja. Dia sendiri belum keluar negeri.

Yang ditunggu-tunggu oleh rakyat yang menyokong dan yang tidak menyokong Umno sekarang ialah buku dari bekas TPM yang menyamai The Malay Dilemma yang dikarang oleh Dr. Mahathir semasa dia bukan Umno dulu.

Dr. Mahathir mengarang segala rasa dan isi hatinya tentang Umno, pemimpinnya dan kerajaan dalam buku itu. Buku itu diharamkan oleh kerajaan hinggalah Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri.

Tentang pandangan media kepadanya? Media tidak muatkan apa yang dia kata. Dia tidak duduk diam. Dia ke sana sini dan mengata itu dan ini tentang Umno.

Ketika itu Dato' Abdullah Badawi pegawai kerajaan tetapi dia simpati dengan Dr. Mahathir yang terbuang itu.

Polis pula kata apa? Tun Hanif Omar ketika itu belum jadi Ketua Polis Negara, tentu boleh dengan bebas menceritakan cara polis dulu menghadapi bekas ahli Umno.

Adapun ahli-ahli bukan main marah lagi kepada Dr. Mahathir yang mencerca Umno ketika itu. Hinggalah dia diterima semula jadi ahli Umno, maka tiadalah senang mereka itu kepadanya.

Tan Sri Jaafar Albarlah orang yang lantang membantah dia dipecat dan membantah pula dia diterima semula oleh Umno. Anak-anak Albar yang tidak jadi pemimpin Umno boleh bercerita bebas tentang hal itu.

Sejarah ini wajar diberi tahu kepada pemimpin-pemimpin Umno yang buta sejarah parti sendiri. Jika mereka tahu sejarah Dr. Mahathir semasa dipecat, maka mereka faham dan mengerti kejadian sekarang.

Kerana saya faham sejarah itu dan tahu tentang sejarah boleh berulang, maka dapat diduga sikap pimpinan Umno sekarang jika sejarah Dr. Mahathir itu diulangi oleh bekas TPM yang terbuang itu ditakdirkan dia naik balik kemudian.

 

Ke Laman Utama